Followers

Monday, December 22, 2008

Harapan leraikan kes Nurin

Polis guna sistem baru jelaskan imej lelaki misteri dalam CCTVKUALA LUMPUR: Polis mendapat harapan baru bagi meleraikan kebuntuan siasatan kes pembunuhan kejam Nurin Jazlin Jazimin apabila sebuah syarikat tempatan menawarkan teknologi yang dikatakan mampu menjelaskan imej lelaki bermotosikal dalam rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berhampiran tempat penemuan mayat kanak-kanak itu. Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, berkata teknologi dari luar negara itu diharap dapat memberi petunjuk baru bagi membantu polis menyelesaikan kes berkenaan.

Beliau berkata, teknologi itu dikatakan mampu menjelaskan imej rakaman CCTV terbabit, terutama nombor pendaftaran motosikal yang digunakan lelaki yang dikaitkan dengan kes pembunuhan Nurin. "Sebelum ini kita menghantar rakaman CCTV itu kepada Biro Siasatan Persekutuan (FBI), namun ia tidak banyak membantu. "Imej dalam rakaman itu masih tidak dapat dijelaskan dan ini menyukarkan kita mengenal pasti suspek termasuk nombor pendaftaran motosikal yang digunakan," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Program Merakyatkan Seni Budaya (PMS) di sini, semalam.

Difahamkan, polis akan mengadakan pertemuan dengan wakil syarikat berkenaan pada minggu ini bagi membincangkan lebih terperinci mengenai sistem dan teknologi yang ditawarkan itu. Nurin Jazlin, 8 tahun, ditemui mati selepas 27 hari dilaporkan hilang ketika keluar bersendirian ke pasar malam berhampiran rumahnya di Seksyen 1, Wangsa Maju, 20 Ogos tahun lalu. Mayat murid Tahun Dua Sekolah Rendah Kebangsaan Desa Setapak itu ditemui dalam sebuah beg sukan yang ditinggalkan di depan sebuah premis perniagaan di Petaling Jaya dan hasil bedah siasat mendapati mangsa mati akibat didera secara seksual. Bapa Nurin Jazlin, Jazimin Abd Jalil, ketika dihubungi pula gembira selepas sekian lama tidak mendengar sebarang perkembangan mengenai siasatan kes pembunuhan anaknya.
"Saya orang paling gembira sekiranya sistem berkenaan mampu menjelaskan rakaman CCTV itu. Sekurang-kurangnya jika ia berjaya mendapatkan nombor pendaftaran motosikal dalam rakaman itu, saya percaya itu sudah mencukupi. "Sekiranya pembunuh anak saya dapat ditahan, bukan saja saya, mungkin seluruh rakyat negara ini akan tumpang gembira. Setidak-tidaknya, kematian anak saya terbela," katanya. [berita harian]

No comments: